Pentingnya Perakaunan Di Dalam Bisnes
Perakaunan membantu Pemilik Bisnes untuk memantau aset, liabiliti, pendapatan dan aliran tunai.Ia tersangat membantu Pemilik Bisnes, Pengurus, Pelabur dan sesiapa yang berkepentingan untuk memantau prestasi dan kedudukan kewangan sesebuah bisnes itu dan membolehkan mereka membuat keputusan-keputusan yang lebih tepat berasaskan data dan maklumat yang tersedia.
Perakaunan adalah satu proses mengumpul, memproses, menyusun atur data kewangan sesebuah bisnes atau syarikat dan melaporkan ia di dalam format yang tertentu.
Proses-proses tersebut harus disempurnakan oleh individu di dalam organisasi bisnes yang ditugaskan atau pasukan perakaunan luar yang dilantik.
Umumnya, laporan kewangan sesebuah bisnes melaporkan perihal kedudukan kewangan, prestasi kewangan dan juga keadaan aliran kewangan bisnes tersebut. Sesebuah entiti bisnes disarankan untuk mengadakan laporan kewangan pada setiap bulan agar dapat memantau prestasi dan kedudukan kewangan secara tepat dan berkala.
Perakaunan yang tepat dan lengkap juga membantu mewujudkan sebuah sistem pemantauan dan kawalan belanjawan kewangan ke atas unjuran dan perancangan kewangan yang telah dibuat.
Berikut adalah beberapa cara bagaimana sesebuah sistem perakaunan yang tepat dan lengkap dapat meningkat kecekapan dan nilai sesebuah bisnes:
- KESTABILAN KEWANGAN
Melalui sistem perakaunan yang cekap dan lengkap, laporan kewangan bulanan dapat dihasilkan dan digunakan sebagai satu alat pemantauan dan pengurusan kewangan.
Keputusan-keputusan penting di dalam menguruskan sesebuah bisnes dapat dibuat dengan tepat jika berasaskan kepada data dan maklumat yang terkandung di dalam laporan kewangan bulanan sekaligus menyumbang kepada kestabilan kewangan apabila unjuran kewangan dapat dianalisa dan tindakan susulan dapat dirangka.
Perakaunan yang tepat juga dapat membantu sesebuah entiti bisnes mewujudkan belanjawan kewangan untuk memantau aliran masuk dan keluar tunai. Ini juga membantu untuk sesebuah bisnes membuat perancangan untuk mengadakan tabungan dan baki tunai yang mencukupi di dalam menghadapi sebarang kekusutan kewangan di masa hadapan.
- KAWALAN PIAWAIAN OPERASI
Melalui perakaunan, perbandingan di antara transaksi perniagaan dan baki sebenar akaun bank, perbandingan di antara perbelanjaan sebenar dan belanjawan dapat dibuat untuk memastikan prestasi dan kedudukan kewangan yang sebenar dibandingkan dengan perancangan awal.
Sebarang perbezaan dan jurang ketara yang dilaporkan membolehkan potensi penipuan, pembaziran atau kebocoran kewangan dikenalpasti. Ini secara langsung merupakan satu sistem kawalan dan pemantauan kepada pematuhan piawaian operasi.
Tanpa sebuah sistem perakaunan yang baik, bisnes terdedah dengan risiko kerugian kewangan dan kehilangan kepercayaan dari pelanggan.
- KAWALAN KOS DAN PERBELANJAAN
Mengawal kos dan perbelanjaan menyumbang secara langsung kepada penambahbaikan tahap keuntungan sesebuah bisnes sekaligus menjadikan sesebuah entiti bisnes beroperasi secara efektif.
Setiap bisnes mempunyai jumlah sumber yang terhad, sistem perakaunan yang efektif mengandungi data-data yang membantu di dalam proses pembuatan keputusan dalam pelbagai proses termasuklah menambahbaik proses operasi kepada memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan tanpa mengabaikan keuntungan.
- PEMASARAN EFEKTIF
Sistem perakaunan yang tepat dan terkini juga dapat membantu di dalam membuat unjuran dan anggaran pendapatan. Unjuran dan anggaran pendapatan bukan sekadar berkaitan dengan belanjawan dan perancangan kewangan masa hadapan. Ia juga berfungsi untuk memberi satu kayu ukur samada kempen pemasaran yang sedang dijalankan memberi pulangan kewangan yang setimpal atau tidak.
Perbelanjaan untuk pemasaran sering kali tersasar dari apa yang telah diperuntukkan terutamanya di dalam bisnes berskala kecil dan bisnes-bisnes di fasa awal operasi pembangunan.
Tanpa data kewangan yang tepat dan lengkap, sukar untuk menjawap persoalan-persoalan seperti berikut;
- Adakah bisnes mampu berbelanja untuk kempen pemasaran dan aktiviti-aktiviti promosi?
- Bilakah masa yang sesuai untuk membuat pelancaran produk?
- Adakah kempen pemasaran yang telah dan sedang berjalan ini membuahkan hasil yang sepatutnya?
- Apakah strategi penetapan harga yang bersesuaian dengan keupayaan kewangan bisnes?
Â
Ada banyak lagi persoalan-persoalan berkaitan yang hanya mampu dijawab sekiranya disokong oleh data-data kewangan lengkap yang dapat dijana dari sebuah sistem perakaunan yang baik.
Adalah tidak keterlaluan jika satu kesimpulan dibuat bahawa sistem perakaunan adalah satu kemestian di dalam proses membangunkan sesebuah bisnes. Tanpanya segala perancangan dan perjalanan bisnes tidak dapat dipantau, dikawal dan diperbaiki dengan baik.