Saya juga adalah seorang usahawan seperti anda. Bermula berniaga secara kecil-kecilan dan juga pernah kerugian dengan jumlah amaun wang yang besar. Bangun semula, bina semula dan terus maju berbisnes sehingga ke hari ini.
Berlatarbelakang sebagai seorang Akauntan Bertauliah, Juruaudit Luar dan Juruaudit Dalaman, minat dan kelebihan saya di dalam arena berbisnes ini adalah membangunkan sistem pengurusan dan kawalan kewangan bisnes. Menggunakan pengalaman saya di dalam beberapa syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, saya juga adalah seorang pemikir strategi bisnes.
Bermula sebagai seorang Juruaudit Kewangan di firma Aljeffri & Co dan Ernst & Young, saya meneruskan kerjaya sebagai Akauntan, ‘Financial Controller, ‘Chief Financial Officer’ dan seterusnya Pengarah Kewangan di dalam beberapa syarikat dari pelbagai industri termasuk industri permotoran, automotif, perkhidmatan perundingan, perkilangan, pembrokeran saham, rangkaian restoran dan juga peruncitan.
Saya berpengalaman menyandang Pengarah Francais dan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkongsian bersama rakankongsi Korea Selatan yang memegang hak francais eksklusif jenama BBQ Chicken di Malaysia.
Perkongsian ini bertahan untuk tempoh selama 4 tahun sebelum kami mengalami kerugian jutaan ringgit dan terpaksa menutup operasi.
Bersama-sama dengan pasangan hidup saya Puan Lydia Jominin, kami telah mengasaskan Smart Franchise Partner sebuah firma perunding pembangunan sistem francais. Firma yang telah diasaskan dari tahun 2008 dan masih bergiat aktif sehingga kini dan telah terlibat di dalam pembangunan model bisnes francais di pasaran Malaysia untuk jenama-jenama luar negara dan juga tempatan.
Pada masa yang sama saya bergerak aktif sebagai penceramah dan pelatih bisnes untuk organisasi-organisasi seperti Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Malaysian Franchise Association (MFA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Insolvensi Malaysia dan beberapa lagi organisasi yang lain. Sehingga kini saya masih bergiat aktif sebagai penceramah dan pelatih bisnes untuk beberapa organisasi terpilih.
Dari tahun 2016, saya pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk beberapa syarikat berjenama di dalam industri peruncitan, perkhidmatan perundingan, fesyen, kejuruteraan dan produk berkaitan gaya hidup dan kesihatan.
Secara peribadi, saya tersangat ‘obsess’ untuk berkongsi ilmu-ilmu teknikal bisnes kepada rakan-rakan usahawan yang lain. Pengalaman jatuh dan bangun maju semula di dalam berbisnes menjadikan saya seorang yang komited untuk berkongsi ilmu teknikal bisnes ini.
Bermula dari tahun 2014, saya memulakan School of Franchise (SoF) yang membangunkan beberapa siri modul pengajaran ilmu teknikal bisnes yang termasuk ilmu pengurusan kewangan, perakaunan, pencukaian, pengurusan sumber manusia, pembangunan penjenamaan, pengurusan pelanggan, pemasaran, sistem penjualan dan seumpamanya.
Beberapa program perkongsian ilmu teknikal bisnes dilancarkan, di antaranya adalah program Group Business Coaching – Accelerated Business Coaching (A.B.C) dan seminar bisnes – Kelas Intensif Teknikal Asas Bisnes (K.I.T.A.B).
Saya juga sehingga kini masih bergiat secara aktif sebagai seorang Coach Bisnes di dalam ‘Personal Business Coaching by Sahar Sahad’ yang diberi nama SIDANG.
Bersama-sama dengan beberapa orang rakankongsi yang lain, saya sedang menjalankan beberapa perniagaan lain yang merangkumi industri teknologi, restoran, perkhidmatan konsultansi, produk keperluan ibu dan pemakanan bayi, produk asas tani, perladangan, industri pertanian dan juga penternakan.
Di samping mengurus dan memajukan bisnes saya sendiri, saya aktif menulis dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman bisnes di laman media sosial terutamanya di Facebook. Saya juga berkongsi tips dan nasihat bisnes di ‘Mobile Apps’ Sahar Sahad dan saban minggu mengadakan sesi FB Live di komuniti Facebook SILIBUS (Saluran Ilmu Integrasi Bisnes Usahawan Start-up).
Dan saya komited untuk terus berkongsi pengetahuan bisnes saya di sini dan berharap ia dapat memberi manafaat kepada anda yang sedang membaca dan juga kepada semua rakan-rakan bisnes saya.
Wassalam.