preloader

Business Coaching

 Persediaan Usahawan Menghadapi 3 Cabaran Utama Di Tahun 2023

Persediaan Usahawan Menghadapi 3 Cabaran Utama Di Tahun 2023

Pakar-pakar ekonomi sepakat berpendapat secara umumnya keadaan ekonomi di tahun 2023 akan lebih mencabar dan tidak kurang juga yang meramalkan akan bermulanya tanda-tanda peringkat awal akan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Tidak kurang ramainya Usahawan yang bulat-bulat mempercayai segala apa yang dibaca atau didengar di laman media sosial.

Dan kepada mereka yang tidak mempunyai pengetahuan menyeluruh bagaimana ekonomi dunia dan ekonomi domestik di sesebuah negara bergerak pasti akan terus berasa gelisah dan tidak kurang juga yang akan terus panik untuk melangkah ke tahun hadapan.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita sebagai orang yang berbisnes harus mengambil perhatian dan menyusun strategi beserta pelan tindakan masing-masing:

  1. Peningkatan Kos Pinjaman dan Pembiayaan Kewangan

Secara berperingkat kadar faedah di institusi-institusi pembiayaan kewangan sedang mengalami kenaikan dan keadaan ini dijangka berterusan di tahun hadapan. Situasi ini mempunyai kesan langsung terhadap perniagaan yang mempunyai nisbah pinjaman yang tinggi.

Usahawan harus menyemak semula status akaun pinjaman masing-masing dan disarankan membuat penstrukturan semula dengan pihak bank dan agensi yang memberi pinjaman.

Penstrukturan semula baki pinjaman pembiayaan kewangan adalah perlu bagi memastikan usahawan tidak terlalu terbeban dengan komitmen pembayaran ansuran bulanan yang telah dan akan terus meningkat disebabkan kenaikan kadar faedah pinjaman.

Usahawan juga harus bersedia dengan perancangan pengurusan aliran tunai yang lebih baik. Di antara perkara yang perlu diambil perhatian adalah untuk tidak membiarkan tunai ‘terbeku’ di dalam bentuk aset, kelengkapan, mesin, kenderaan dan inventori yang berlebihan dan tidak memberi sumbangan bermakna.

Usahawan harus lebih bersedia dengan mempunyai jumlah baki tunai yang mencukupi untuk menampung sekurang-kurangnya 3 ke 6 bulan jumlah perbelanjaan operasi dan pengurusan.

  1. Kumpulan Berpendapatan Rendah dan Sederhana Paling Terkesan

Situasi ini berlaku kerana dua kumpulan ini adalah mereka yang mendominasi kategori ‘makan gaji’ dan yang mengambil pembiayaan kewangan yang tinggi.

Banyak syarikat dan bisnes yang tidak dapat menanggung kenaikan kos operasi dan kos kewangan akan mengambil langkah cuba mengurangkan perbelanjaan. Kos sumber manusia seperti gaji, elaun dan bayaran kerja lebih masa akan dikurangkan.

Jika keadaan mendesak maka akan berlaku keadaan di mana ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan masing-masing. Ini memberi kesan langsung kepada jumlah pendapatan isi rumah mereka.

Komitmen bulanan ansuran pembayaran pinjaman yang terkesan oleh kadar faedah yang tinggi juga memberi lebih tekanan.

Banyak keluarga akan mengalami keadaan baki pendapatan yang rendah oleh kerana komitmen perbelanjaan yang tinggi dan juga kesan dari kehilangan sumber pendapatan.

Di antara pelan tindakan yang Usahawan boleh ambil adalah mengubah fokus kumpulan sasaran kepada segmen berpendapatan tinggi dan yang stabil sumber pendapatan mereka. Usahawan juga harus lebih mengutamakan jualan tunai kepada pelanggan masing-masing bagi mengelakkan risiko bertambahnya hutang lapuk.

  1. Krisis Bekalan Bahan Mentah

Situasi pengeluaran bahan mentah juga barangan keperluan asas akan terus mengalami tekanan dan bekalan yang terhad di dalam pasaran.

Faktor utama berlakunya bekalan bahan mentah dan barangan asas yang terhad di dalam pasaran adalah strategi pihak-pihak yang berkepentingan memberi tekanan untuk meningkatkan harga kawalan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan.

Peningkatan kos bahan mentah kepada peniaga-peniaga berskala mikro, kecil dan sederhana adalah sesuatu yang hampir pasti berlaku di tahun mendatang. Maka Usahawan harus bersedia dengan strategi dalam menghadapi tekanan ini.

Usahawan perlu membuat pengiraan semula kos produk dan bersedia untuk strategi meningkatkan harga produk masing-masing. Pengalihan kepada kumpulan pelanggan yang mampu membayar harga lebih tinggi juga adalah satu pilihan yang bijak.

Usahawan juga harus mengkaji semula keperluan bahan-bahan mentah asas di dalam pengeluaran produk. Sekiranya krisis bekalan bahan mentah ini berterusan ke tahap yang lebih kritikal, Usahawan harus berfikiran terbuka untuk mengubah resepi atau menggunakan bahan-bahan mentah pengganti yang lain.

Secara peribadi, saya masih optimis bahawa di tahun 2023 nanti kita sebagai orang yang menjalankan perniagaan bakal disajikan dengan lebih banyak peluang.

Tiada siapa sebenarnya boleh mendabik dada dengan yakin dan berkepastian penuh untuk mengatakan bahawa di tahun 2023 akan berlaku begitu atau berlaku begini. Tiada siapa yang boleh meramalkan masa hadapan dengan tepat.

Namun begitu, perancangan dan pelan tindakan yang jitu harus ada bagi memastikan peluang-peluang yang bakal hadir nanti tidak berlalu begitu sahaja oleh kerana kita gagal bersedia dari awal.

Â